PENDEKATAN KAEDAH PEMULIHAN DI BAITUL TAUBAH
Frasa “pemulihan secara Islam” adalah merujuk kepada apa juga kaedah pemulihan dadah yang menggunakan Al-Quran dan Hadith sebagai sumber falsafah dan pendekatan untuk memulihkan penagih dadah. Oleh kerana penganut Islam mempunyai tafsiran yang berbeza tentang bagaimana sesetengah firman Allah atau sabda Rasul itu harus dilaksanakan, maka tidak ada satu kaedah yang wujud kini yang boleh memonopoli label “pemulihan cara Islam”. Kaedah yang dihuraikan di bawah adalah hanya salah satu tafsiran amalan, yang kebetulannya didapati berkesan dalam mengembalikan kehidupan normal seorang yang bergantung pada dadah.
Kaedah Pondok Inabah
Frasa “Pondok Inabah” atau kata singkat “Inabah” adalah merujuk kepada “Pondok Remaja Inabah” yang dipelopori pada tahun 1980 oleh Kiyai Hj. Ahmad Shohibulwafa Tajul Ariffin, Mursyid Tarekat Qadiriah wan Naqsyabandiah yang berpusat di Pondok Pesantren Suryalaya, Tasek Malaya, Jawa Barat, Indonesia. Secara keseluruhan, terdapat 24 Pondok Inabah di seluruh Nusantara termasuk dua (2) di Malaysia dan satu (1) di Singapura.
Model operasi Inabah adalah “pusat pemulihan dadah swasta” di mana kemasukan dan penempatan pelatih yang dipanggil “anak bina” adalah secara sukarela, dengan kos sarahidup dibiayai sepenuhnya oleh keluarga. Di Malaysia, bayaran bulanan yang dikenakan ke atas seorang anak bina adalah sebanyak RM400/=.
Tempoh minima rawatan pemulihan adalah selama tiga (3) bulan. Namun lazimnya kebanyakan anak bina secara sukarela akan melanjutkan tempoh pemulihan mereka kepada enam (6) bulan atau lebih.
Kurikulum Inabah
Kaedah pemulihan Inabah adalah 100% menggunakan “pemulihan secara Islam”. Kaedah yang digunakan adalah bagi menyucikan anak bina dari segala kekotoran secara dalaman dan luaran (rohani dan jasmani). Teras kaedah ini ialah: (a) Solat, (b) Mandi Malam dan (c) Zikir.
Solat
Terdapat jadual solat yang telah ditetapkan untuk dipatuhi oleh semua pelatih disini. Pelbagai solat sunat diatur menjadi suatu program yang dapat menyucikan jiwa para pelatih
Mandi Malam
Amalan mandi malam dan wudhu’ adalah perkara yang diwajibkan ke atas anak bina. Ini kerana, mandi dan wudhu’ difahamkan sebagai simbolik juga bertujuan tujuan menyucikan jiwa bagi tujuan menghadap Allah. Mandi malam yang juga dipanggil “mandi taubat” adalah satu amalan khusus yang mesti dilaksanakan oleh anak bina dan amalan ini dikawalselia oleh Penyelia.
Zikir
Zikir pada bilangan yang khusus dan tidak khusus diwajibkan ke atas semua anak bina (zikir jahar dikecualikan pada mereka yang uzur syarie) dalam usaha menghasilkan hati yang bersih (jauh dari syirik) dan kuat (berisi cahaya Ilahi). Kaedah ini sekaligus memberi ketenangan hati kepada anak bina dalam proses pemulihan.
· Zikir Jahar yang utama diamalkan di Baitul Taubah adalah kalimah toiyyibah “Laailahaillallah” dan Zikir Khofi pula ialah kalimah “Ismu Zat”.
Tuesday, December 2, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment