Tuesday, December 2, 2008

TAPAK LOKASI BAITUL TAUBAH

Baitul Taubah (Pondok Islam Diri)
PT 372 Kg. Jeram Pasu, 16800 Pasir Puteh, Kelantan
Sumbangan anda di alu-alukan ke akaun kami:
Hubungi:09-748 0086 (pentadbiran) /atau 09-786 6566 (operasi)


Gambar 1: Pintu masuk bekas Kem JPA 3



Gambar 2: Papan notis nasihat dan peringatan sewaktu tempat ini menjadi Pusat Pemulihan Dadah Kebangsaan



Gambar 3: Persekitaran bekas kem JPA 3



PETA LOKASI BAITUL TAUBAH




1. RENTETAN PERISTIWA


Bermula dari 16 Januari 2008 sehingga 08 Oktober 2008 Baitul Taubah telah mendaftar masuk seramai 74 orang anak bina. Baitul Taubah hanya dapat menampung 20 -30 orang anak bina dalam satu masa disebabkan prasarana, asrama , lain-lain logistik serta sumber kewangan yang terhad.

1.1. Pengambilan anak bina.


Mulai 16 Januari 2008 seramai 20 anak bina mengikuti Program Bairul Taubah secara percuma. Anak bina datang dari keluarga Bandar dan Luar Bandar melibatkan majoritinya dari Kelantan dan selainya dari Kedah, Pahang Terengganu dan Melaka. Kemasukkan anak bina pada awalnya tidak disaring rapi kerana terdapat anak bina yang terpaksa menjalani rawatan hospital kerana berbagai penyakit akibat penagihan seperti Batuk Kering (Tuberculosis), HIV, Hepatitis, kurang siuman (Schizophrenia ) serta lain-lain. Ada keluarga yang seolah-olah gembira kerana dapat melepaskan penjagaan anak/tanggunan mereka sepenuhnya kepada Baitul Taubah. Umur atau usia anak-anak bina adalah dari serendah 14 tahun hingga yang paling tua berusia 44 tahun. Sebilangan kecil telah berkeluarga dan mempunyai anak-anak yang belum bersekolah. Mereka terlibat dengan berbagai jenis dadah seperti, heroin, syabu, penghiduan gam, daun ketum dan lain-lain.

1.2. Kumpulan Pertama


Kumpulan pertama memberi pengalaman yang berbagai kepada Baitul Taubah. Ada sebilangan anak bina yang terpaksa dihantar untuk mendapat rawatan kecemasan kerap kali kerana penyakit hipatitis, TB, HIVdan skizu akibat kesan penagihan dadah. Yang menghidap Skizu (hilang ingatan) langsung tidak mengikuti program terpaksa pulang kepangkuan keluarga. Mereka ini tidak dapat mengikuti program dengan penuh disiplin menyebabkan faktor kegagalan hampir 30 %. Dari segi latar belakang ada sebilangan mereka mempunyai pendidikan Institusi Pengajian Tinggi antaranya Politeknik, UitM, UTM dan Institusi Tahfiz dari luar negara. Ada juga yang sedang dalam peringkat sekolah menengah rendah dan lepasan peperiksaan (SPM) sekolah menengah.

1.3. Kejayaan Baitul Taubah.


Dari kalangan mereka yang berjaya, terdapat seorang berusia 44 tahun dilantik sebagai ketua (Tok Nebeng). Beliau mempunyai kemahiran dalam pertukangan. Dari asas iman yang lemah beliau berjaya mengikuti program dengan baik dan tinggal di Baitul Taubah sehingga 6 bulan . Beliau terpaksa pulang kepangkuan keluarga dan masyarakat kerana mempunyai isteri dan anak-anak. Ada pihak prihatin dari Ahli Lembaga Baitul Taubah telah menghadiahkan beberapa alat pertukangan seperti gergaji elektrik, ketam kayu letrik, pahat, tukul dan penggerudi untuk kegunaannya. Baitul Taubah mendapat maklumbalas bahawa beliau mengambil upah (bertukang bina rumah dan siling kapur (moulded ceiling) di sekitar kawasan Kota Bharu.
Selain dari ”Tok Nebeng”, seramai 4 orang anak bina masih tinggal di Baitul Taubah walau pun telah tamat tempoh latihan. Mereka ingin terus tinggal supaya mereka lebih mantap untuk pulang kepangkuan masyarakat. Di samping itu, mereka dapat membantu Baitul Taubah memberi panduan dan tunjuk ajar kepada anak-anak bina yang baru. Seorang daripadanya lepasan hafazan Al-Quran dari Pakistan di lantik sebagai Pembantu Pembina mengajar Al-Quran dan ilmu asas Islam kepada anak-anak bina yang lain. Manakala 3 yang lain mempunyai minat/ kemahiran pendawaian elektrik, penternakan dan masakan juga masih tinggal sebagai Pembantu Pembina.

1.4. Kumpulan Kedua

Bagi anak-anak bina kumpulan ini dikenakan bayaran untuk belanja makanan bulanan sebayak RM400 seorang. Walaupun bayaran tersebut jauh dari mencukupi untuk pengurusan Baitul Taubah tetapi atas rasa tanggungjawah sosial kos logistik dan utiliti bayaran elaun-elaun Pembina dan Pembantu Pembina, Pengawal Keselamatan, Tukang Masak dan kerja-kerja baikpulih bangunan terpaksa diikhtiarkan dan amat memerlukan sumbangan daripada para Dermawan, Koperat/Agensi Kerajaan atau Institusi Swasta. Dengan pengalaman pada peringkat awal, tidak banyak masalah anak bina yang lari pulang. Anak-anak yang diterima disaring dari segi penyakit-penyakit serius, kes-kes polis atau AADK. Bagaimanapun terdapat keluarga yang ingin menghantar anak-anak mereka yang mengikuti rawatan dan pengawasan Pengasih ke Baitul Taubah.Ada beberapa daripada anak bina kumpulan Kedua yang tamat tempoh 4 bulan masih melanjutkan tempoh tinggal mereka sehingga 6 bulan. Beberapa orang masih ingin terus tinggal di Baitul Taubah bergantung kepada kekosongan tempat.





BAHAYA DADAH PADA NEGARA

Bahana Dadah

Demi menjamin kesejahteraan hidup, Islam telah menetapkan panduan dan larangan dalam pengambilan bahan makanan atau kegunaan. Semua ini bertujuan memastikan kesinambungan hidup manusia agar sentiasa terpelihara jasmaninya dan akidahnya. Tegahan makanan kotor, serta yang memudharatkan adalah jelas. Larangan Ini adalah termasuk memakan bahan-bahan yang memabukkan.

Perbuatan penyalahgunaan dadah adalah sesuatu yang dilarang kerana ia memberi impak yang besar kepada kesihatan diri, kewarasan akal serta merosakkan akidah. Penyalahgunaan dadah adalah umpama sengaja meletakkan diri ke dalam kebinasaan, sebagaimana Firman Allah dalam Al-Quran, surah Al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud:

“Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

Islam melarang keras mendekati dadah apatah lagi menjerumuskan diri ke dalam perangkapnya, kerana antara kesan utama dadah ialah:

· Merosakkan diri sendiri
· Menghancurkan rumahtangga
· Menimbulkan masalah jenayah
· Mendatangkan penyakit berbahaya seperti HIV/AIDS
· Membunuh diri.

Statistik Dadah di Malaysia

Laporan Agensi Dadah Kebangsaan (AADK) 2006, menunjukkan 300,241 warga Malaysia telah dikesan sebagai pengguna dadah di antara tahun 1988 hingga bulan Disember 2006. Amnya seramai 1,900 pengguna dadah baru dapat dikesan setiap bulan. Majoriti penguna dadah adalah golongan pemuda/pemudi di bawah umur 29 tahun. Masaslah dengan penyalahgunaan dadah ialah ia bukan sahaja memudaratkan individu berkenaan serta keluarga mangsa, tetapi memberi kesan langsung terhadap keharmonian sosial, ketenteraman, serta produktiviti ekonomi negara. 75% dari jumlah penagih dadah yang dikesan adalah berbangsa Melayu.


Statistik HIV/AIDS di Malaysia

Malaysia ialah tempat epidemik AIDS yang kelima paling pesat merebak di rantau Asia Timur dan Pasifik dengan kadar semasa jangkitan HIV berganda setiap tiga (3) tahun. Di antara tahun 1986 di mana kes pertama dikesan, hingga hujung tahun 2006, seramai 76,389 orang telah dijangkiti HIV, manakala 9,155 orang telah meninggal dunia akibat AIDS. Statistik ini membayangkan purata 17 orang akan diuji positif bagi penyakit ini setiap hari.

HIV/AIDS di Kalangan Wanita Malaysia

Jumlah wanita yang dijangkiti HIV telah bertambah dengan pesat pada dekad yang lalu daripada 4% dalam tahun 1995 kepada 15% di akhir tahun 2006. Kajian menunjukkan pada tahun 2006, lebih banyak suri rumah diuji positif HIV, berbanding dengan pekerja seks (pelacur). Pada masa yang sama, peratus bayi yang dilahirkan dengan HIV juga meningkat dari 0.2% kes pada tahun 1991 kepada 1.4% kes bagi tahun 2006.








Keratan Akhbar Baitul Taubah




KAEDAH PEMULIHAN DI BAITUL TAUBAH

PENDEKATAN KAEDAH PEMULIHAN DI BAITUL TAUBAH

Frasa “pemulihan secara Islam” adalah merujuk kepada apa juga kaedah pemulihan dadah yang menggunakan Al-Quran dan Hadith sebagai sumber falsafah dan pendekatan untuk memulihkan penagih dadah. Oleh kerana penganut Islam mempunyai tafsiran yang berbeza tentang bagaimana sesetengah firman Allah atau sabda Rasul itu harus dilaksanakan, maka tidak ada satu kaedah yang wujud kini yang boleh memonopoli label “pemulihan cara Islam”. Kaedah yang dihuraikan di bawah adalah hanya salah satu tafsiran amalan, yang kebetulannya didapati berkesan dalam mengembalikan kehidupan normal seorang yang bergantung pada dadah.

Kaedah Pondok Inabah

Frasa “Pondok Inabah” atau kata singkat “Inabah” adalah merujuk kepada “Pondok Remaja Inabah” yang dipelopori pada tahun 1980 oleh Kiyai Hj. Ahmad Shohibulwafa Tajul Ariffin, Mursyid Tarekat Qadiriah wan Naqsyabandiah yang berpusat di Pondok Pesantren Suryalaya, Tasek Malaya, Jawa Barat, Indonesia. Secara keseluruhan, terdapat 24 Pondok Inabah di seluruh Nusantara termasuk dua (2) di Malaysia dan satu (1) di Singapura.

Model operasi Inabah adalah “pusat pemulihan dadah swasta” di mana kemasukan dan penempatan pelatih yang dipanggil “anak bina” adalah secara sukarela, dengan kos sarahidup dibiayai sepenuhnya oleh keluarga. Di Malaysia, bayaran bulanan yang dikenakan ke atas seorang anak bina adalah sebanyak RM400/=.

Tempoh minima rawatan pemulihan adalah selama tiga (3) bulan. Namun lazimnya kebanyakan anak bina secara sukarela akan melanjutkan tempoh pemulihan mereka kepada enam (6) bulan atau lebih.


Kurikulum Inabah

Kaedah pemulihan Inabah adalah 100% menggunakan “pemulihan secara Islam”. Kaedah yang digunakan adalah bagi menyucikan anak bina dari segala kekotoran secara dalaman dan luaran (rohani dan jasmani). Teras kaedah ini ialah: (a) Solat, (b) Mandi Malam dan (c) Zikir.


Solat

Terdapat jadual solat yang telah ditetapkan untuk dipatuhi oleh semua pelatih disini. Pelbagai solat sunat diatur menjadi suatu program yang dapat menyucikan jiwa para pelatih


Mandi Malam

Amalan mandi malam dan wudhu’ adalah perkara yang diwajibkan ke atas anak bina. Ini kerana, mandi dan wudhu’ difahamkan sebagai simbolik juga bertujuan tujuan menyucikan jiwa bagi tujuan menghadap Allah. Mandi malam yang juga dipanggil “mandi taubat” adalah satu amalan khusus yang mesti dilaksanakan oleh anak bina dan amalan ini dikawalselia oleh Penyelia.

Zikir

Zikir pada bilangan yang khusus dan tidak khusus diwajibkan ke atas semua anak bina (zikir jahar dikecualikan pada mereka yang uzur syarie) dalam usaha menghasilkan hati yang bersih (jauh dari syirik) dan kuat (berisi cahaya Ilahi). Kaedah ini sekaligus memberi ketenangan hati kepada anak bina dalam proses pemulihan.

· Zikir Jahar yang utama diamalkan di Baitul Taubah adalah kalimah toiyyibah “Laailahaillallah” dan Zikir Khofi pula ialah kalimah “Ismu Zat”.